Sebelum mendirikan rumah tangga dengan seseorang, pastikan kita memiliki persediaan yang secukupnya agar kita tidak sesal dikemudian hari. Apakah persediaan penting yang perlu ada dalam diri sebelum kita melafazkan akad nikah?
1. Memiliki aqidah yang sahih
Firman Allah SWT :
“Dan janganlah kamu menikahkan orang-orang musyrik dengan wanita-wanita mukmin sebelum mereka beriman. Sesungguhnya hamba lelaki yang mukmin itu adalah lebih baik dari orang lelaki yang musyrik, walaupun dia menarik hatimu. Mereka mengajak ke neraka, sedangkan Allah mengajak kamu ke syurga dan keampunan dengan izin-Nya.” (Al-Baqarah : 221)
Buah dari aqidah yang benar ialah tauhid yang tulus dan suci serta bersih daripada syirik dan kekufuran. Inilah yang mesti dimiliki sebelum memasuki gerbang pernikahan agar pasangan atau isteri serta ahli keluarga terselamat dari kesesatan dan diredhai oleh Allah SWT.
2. Mempunyai perancangan hidup
Perkahwinan ialah alat atau wasilah dan bukanlah merupakan matlamat hidup seseorang. Apa yang berlaku dalam perkahwinan ialah dua insan menjadi pasangan dan hidup bersama secara halal.Perkahwinan tidak akan mengubah hidup seseorang menjadi lebih baik atau lebih buruk sebaliknya perkahwinan adalah alat yang bergantung kepada cara seseorang itu menggunakannya untuk mencapai sesuatu tujuan.
Daripada Amirul Mukminin, Umar bin Khattab ra yang berkata : Aku mendengar rasulullah salallahu alaihi wasalam bersabda:
“Sesungguhnya setiap amal itu dengan niat dan setiap amalan itu dibalas menurut apa yang ia niatkan. Barangsiapa yang berhijrah kepada Allah dan rasul-Nya maka hijrahnya itu ialah kepada Allah dan rasul-Nya dan barangsiapa yang hijrahnya itu untuk tujuan dunia yang akan diperolehinya atau kerana perempuan yang hendak dinikahinya maka hijrahnya itu ialah kepada apa yang diniatkan olehnya.” (hadith riwayat Muslim)
3. Mempunyai asas kekuatan jiwa dan kawalan diri
Kita perlu memahami bahawa dalam perkahwinan, suami mempunyai kedudukan yang tinggi dan penting. Kebahagiaan isteri dan neraka mereka adalah bergantung kepada sikap suami dan kekuatan peribadi sang lelaki dalam mengawal diri. Jika suami seorang yang pemarah, kaki pukul dan gagal mengawal diri maka banyak bahaya dan kemudharatan dikhuatiri akan menimpa pihak isteri yang boleh mengakibatkan kehancuran rumahtangga dan pelanggaran hukum Allah SWT.
Daripada Abu Said Al-Khudri ra bahawa rasulullah SAW pernah bersabda :
لا ضرر ولا ضرار
“Tidak boleh melakukan kemudharatan dan tidak pula boleh mengundang kemudharatan (melalui perbuatan yang dilakukan).” (hadis hasan riwayat Daruquthni, Al-Hakim dan Baihaqi)
Adalah haram menikahi seorang wanita dengan niat untuk melakukan kemudharatan terhadap dirinya atau dalam keadaan tidak bersedia dan tidak mampu untuk memenuhi keperluannya sehingga menyebabkan kesusahan dan mudharat kepada agama, nyawa, akal dan maruah serta hartanya yang dipelihara oleh Islam. Oleh yang demikian persediaan kekuatan jiwa dan kawalan diri sebelum berkahwin ialah wajib dimiliki oleh setiap lelaki muslim agar diri mereka layak menjadi pemimpin dan ketua keluarga yang berkemampuan menegakkan hukum Allah SWT dalam rumahtangga mereka.
4. Mampu membaca kitab Allah dan sunnah rasul-Nya
Sebagai ketua keluarga, lelaki Muslim bertanggungjawab membawa ahli keluarganya ke jalan Allah SWT dan menyelamatkan mereka dari menjadi bahan bakar api neraka.
Firman Allah SWT yang bermaksud : “Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu.” (At-Tahrim : 6)
Adalah menjadi syarat yang penting bagi seorang bapa dan wali kepada perempuan untuk memastikan calon suami kepada anak-anak gadis mereka mampu membaca kitab Allah dan boleh merujuk kepada sunnah rasululullah salallahualaihiwassalam. Sekurang-kurangnya dia mampu menguasai bacaan Al-Quran dengan baik dan boleh menjadi Imam dalam keluarganya, mampu membuka tafsir dan merujuk kitab-kitab tafsir atau kitab terjemahan untuk mempelajari maksud-maksud ayat-ayat Allah SWT dan mengambil pelajaran daripadanya.
5. Mengetahui tentang halal dan haram dan cara beribadah (fardhu ain)
Allah SWT berfirman yang bermaksud :
“Yang menyuruh mereka mengerjakan yang makruf dan melarang mereka dari mengerjakan yang mungkar dan menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk dan membuang dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka”. (Al-A’raf : 157)
Apa yang perlu diketahui oleh seorang lelaki itu sebelum bernikah ialah perkara-perkara asas dan hukum halal dan haram yang telah jelas dari Al-Quran dan As-sunnah. Hal ini tidak semestinya dihafal atau dikuasai di dalam kepala tetapi bermaksud dia mampu mencari rujukan, membaca buku atau boleh mendapatkan pengetahuan tentang halal dan haram apabila berdepan dengan sesuatu situasi. Namun adalah lebih baik seorang Muslim itu bersedia dan mengetahui tentang apakah perkara yang dihalalkan dan diharamkan oleh Allah SWT kerana hal itu termasuk dalam perintah untuk menuntut ilmu dan mencari petunjuk.
6. Mempunyai kesihatan yang baik
Kesihatan yang baik ialah merupakan perintah agama dan menjadi salah satu sifat dan kelebihan kepada orang yang beriman. Islam amat mementingkan penjagaan makan, kesihatan diri seperti kebersihan dan kecergasan badan.
Ini boleh dilihat di dalam sebuah hadith yang menyebut sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Orang mukmin yang kuat adalah lebih baik dan disukai oleh Allah daripada orang mukmin yang lemah.” (Hadis Riwayat Muslim)
7. Mempunyai pekerjaan dan pendapatan serta tempat tinggal
Termasuk diantara syarat-syarat asas untuk mendirikan rumahtangga ialah pihak suami atau lelaki itu mempunyai kemampuan untuk memberikan nafkah dan memenuhi keperluan asas keluarganya serta menyediakan tempat tinggal yang selamat.
Allah SWT berfirman yang bermaksud :
“Tempatkanlah mereka (para isteri) di mana kamu tinggal menurut kemampuan kamu dan janganlah kamu menyusahkan mereka untuk menyempitkan (hati) mereka.” (At-Talaq : 6)
Tidak disyaratkan untuk memiliki rumah yang besar atau mewah tetapi hendaklah ianya mampu melindungi keselamatan isteri dan auratnya serta dapat memberikan perlindungan dari hujan dan panas serta tidak memudharatkannya untuk menetap di dalamnya. Islam juga mementingkan persediaan dan pekerjaan bersungguh-sungguh bukan hanya meminta-minta dan mengharapkan bantuan atau sedekah tanpa usaha gigih yang bercanggah dengan sikap Islam.
Firman Allah SWT : “Dan Kami jadikan malam sebagai pakaian, dan Kami jadikan siang untuk mencari penghidupan (sara hidup dan rezeki).” (An-naba : 10-11)
8. Memiliki kekuatan untuk menjaga dan melindungi keselamatan isteri dan keluarga
Islam menjadikan lelaki sebagai pemimpin wanita kerana kekuatan dan kelebihan yang ada pada kaum lelaki untuk memelihara dan melindungi wanita. Sebelum bernikah, seseorang wanita itu akan berada dibawah pemeliharaan walinya yang bertanggungjawab ke atasnya. Namun apabila dia sudah menikah maka tugas untuk melindungi dan menjaga keselamatan dirinya, agamanya dan memelihara dirinya daripada bahaya dan fitnah adalah terletak di atas bahu suaminya.
Daripada Abdullah ibn Amru ibn As ra bahawa rasulullah salallahualaihiwasalam pernah bersabda : “Dan bagi isteri kamu itu mempunyai hak ke atas kamu.” (Hadith sahih riwayat Bukhari dan Muslim)
Oleh yang demikian hendaklah bakal suami dan lelaki muslim yang akan bernikah bersedia menyiapkan diri dengan kekuatan dan kemampuan fizikal dan mental serta persediaan yang perlu untuk melindungi isterinya daripada bahaya dan gangguan manusia dan syaitan.
9. Memiliki kemahiran asas dalam hidup
Baginda rasulullah salallahualaihiwassalam sendiri amat mengalakkan umatnya belajar menunggang kuda, berenang dan memanah di zaman baginda. Pada hari ini kemahiran yang penting ialah seperti kemahiran IT, kaunselling, motivasi dan kemahiran pertukangan dan memperbaiki alatan elektrik dan menyelia kenderaan jika rosak di tengah jalan.
Antara kemahiran asas yang penting ialah kemahiran komunikasi dan kemahiran mendidik isteri dan anak-anak dengan berkesan atau kemahiran memujuk para isteri dan anak-anak apabila berlakunya masalah dan pergaduhan. Komunikasi boleh memberi kesan yang besar kepada perkahwinan jika tidak dijaga dengan baik dan diabaikan. Kemahiran bertukang dan berkebun pula boleh memberikan manfaat kepada pendapatan, manakala kemahiran seperti pengetahuan tentang kesihatan dan perubatan boleh membantu keluarga apabila berlakunya kecemasan dan kemalangan.
Waoh, MENARIKNYA! SOCAZ ada buat SALE!
Jualan dengan hottest item sahaja:
- Stokin Soka Alien M
- Kanik Alien Tapak Hitam M
- Stokin Soka Original New Edition
- Lily Handsock
Pelbagai warna menarik yang boleh dipilih.
Jangan fikir lama-lama, stok adalah terhad!
Contect number di bawah untuk order:
www.socaz.my
Sumber:
http://ustaz.blogspot.my