Kesihatan adalah nikmat, wajib disyukuri
Kesihatan yang diberikan oleh Allah merupakan nikmat yang wajib disyukuri. Syukur dengan mengucapkan lafaz hamdalah beserta tindakan yang mendekatkan diri kepada Allah. Hakikat syukur yang disebutkan oleh Imam al-Ghazali di dalam kitabnya Minhajul Abidin (منهاج العابدين) ialah mengguna pakai nikmat tersebut untuk melakukan ibadah kepada Allah.
Rasulullah S.W.T juga memperingatkan kepada umatnya agar menggunakan dan memanfaatkan 5 kesempatan sebelum datang 5 kesempitan yang lain. Kesempatan yang ada adalah peluang untuk melakukan ibadah dengan lebih kuat dan banyak.
Ibn Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
اغتنمْ خمسًا قبل خمسٍ شبابَك قبل هرمكَ وصحتَك قبل سَقمِكَ وغناكَ قبل فقرِك وفراغَك قبل شغلِك وحياتَكَ قبل موتِكَ
“Gunakanlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara; Masa mudamu sebelum masa tuamu, kesihatanmu sebelum sakitmu, waktu luangmu sebelum waktu sibukmu, masa kayamu sebelum masa kefakiranmu, masa hidupmu sebelum kematianmu.”
(Riwayat al-Hakim)
Malah Baginda S.A.W juga memperingatkan bahawa antara nikmat yang seringkali ditewaskan atau diabaikan oleh manusia ialah nikmat sihat dan masa lapang. Iaitu ketika manusia memiliki nikmat ini, disia-siakan tanpa dilakukan amalan yang sebaiknya.
Ibn Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
نِعْمَتَانِ مَغْبُونٌ فِيهِمَا كَثِيرٌ مِنْ النَّاسِ الصِّحَّةُ وَالْفَرَاغُ
“Dua kenikmatan yang sering dilupakan oleh kebanyakan manusia adalah kesihatan dan waktu lapang.”
(Riwayat al-Bukhari)
Menjaga kesihatan adalah tanggungjawab dan amanah
Secara asas, menjaga kesihatan adalah tanggungjawab manusia atas amanah Allah ke atas diri mereka. Tubuh badan dan anggota serta kesihatan yang diberikan oleh Allah adalah wajib dijaga, dipelihara dan dilarang dari sakiti ke atasnya.
Sebab itu, apa sahaja tindakan menzalimi, menganiayai dan memudaratkan adalah diharamkan di dalam Islam. Malah, tubuh yang dimiliki oleh manusia ini pun hakikatnya adalah ‘pinjaman’ kurniaan dari Allah. Sampai masa ia akan kembali kepada Allah pada waktu yang telah ditetapkan oleh-Nya.
Lantaran itu, sifat melampaui batas adalah dilarang oleh Allah kerana antara kesan yang boleh berlaku ialah kemudaratan atas kesihatan. Malahan dalam makan minum juga dilarang memakan dan meminum sesuatu yang haram dan tidak mendatangkan kebaikan kerana ia boleh mengancam ke atas kesihatan. Begitu juga, sekiranya minum dan makan dalam keadaan melampaui batas ia mengundangkan bahaya dan penyakit.
Firman Allah S.W.T:
۞ یَـٰبَنِیۤ ءَادَمَ خُذُوا۟ زِینَتَكُمۡ عِندَ كُلِّ مَسۡجِدࣲ وَكُلُوا۟ وَٱشۡرَبُوا۟ وَلَا تُسۡرِفُوۤا۟ۚ إِنَّهُۥ لَا یُحِبُّ ٱلۡمُسۡرِفِینَ
“Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.”
[al-A’raf: 31]
Haram menyakiti dan menceroboh kesihatan
Firman Allah S.W.T:
وَكَتَبۡنَا عَلَیۡهِمۡ فِیهَاۤ أَنَّ ٱلنَّفۡسَ بِٱلنَّفۡسِ وَٱلۡعَیۡنَ بِٱلۡعَیۡنِ وَٱلۡأَنفَ بِٱلۡأَنفِ وَٱلۡأُذُنَ بِٱلۡأُذُنِ وَٱلسِّنَّ بِٱلسِّنِّ وَٱلۡجُرُوحَ قِصَاصࣱۚ فَمَن تَصَدَّقَ بِهِۦ فَهُوَ كَفَّارَةࣱ لَّهُۥۚ وَمَن لَّمۡ یَحۡكُم بِمَاۤ أَنزَلَ ٱللَّهُ فَأُو۟لَـٰۤىِٕكَ هُمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ
“Dan kami telah tetapkan atas mereka di dalam kitab Taurat itu, bahawa jiwa dibalas dengan jiwa, dan mata dibalas dengan mata, dan hidung dibalas dengan hidung, dan telinga dibalas dengan telinga, dan gigi dibalas dengan gigi, dan luka-luka hendaklah dibalas (seimbang). Tetapi sesiapa yang melepaskan hak membalasnya, maka menjadilah ia penebus dosa baginya; dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.”
[al-Ma’idah: 45]
Ayat di atas Allah menjelaskan mengenai larangan membunuh nyawa dan menyakiti serta mencederakan anggota tubuh badan manusia. Ini mendapat dalil mengenai larangan juga membiarkan kesihatan dimudaratkan dari tindakan yang zalim tersebut.
Disebabkan itu, mereka yang sengaja menceroboh ke atas nyawa sehingga terjadi pembunuh dan mencederakan anggota tubuh dikenakan hukum qisas dan bayaran diyat. Ini kerana nyawa dan anggota tubuh ada nilai besar di sisi agama. Apatah lagi, tindakan-tindakan zalim tersebut memberikan kesan mudarat pada kesihatan tubuh badan manusia itu secara langsung.
Jauhi haram kerana memudaratkan kesihatan
Larangan-larangan dari Allah bukan satu bentuk kezaliman. Sedangkan mustahil bagi Allah bersifat dengan sifat zalim.
Di dalam hadis Qudsi, Abu Zar meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda bahawa Allah S.W.T berfirman:
يَا عِبَادِي إِنِّي حَرَّمْتُ الظُّلْمَ عَلَى نَفْسِي وَجَعَلْتُهُ بَيْنَكُمْ مُحَرَّمًا فَلَا تَظَالَمُوا
“Wahai hamba-hambaKu, sesungguhnya Aku mengharamkan kezaliman atas zatKu, dan Aku jadikannya antara kamu perkara yang diharamkan maka jangan kamu saling zalim menzalimi.”
(Riwayat Muslim)
Justeru, apa sahaja yang diharamkan oleh Allah maka pegangan kepercayaan umat Islam ia adalah kerana perkara yang diharamkan tersebut memudaratkan atas kehidupan manusia. Justeru, larangan Allah tersebut merupakan sifat belas kasihan dan kasih sayang-Nya atas manusia yang merupakan hamba-Nya agar tidak berlaku kemudaratan.
Sebagaimana larangan Allah agar menjauhi zina kerana kesan zina tersebut memudaratkan antaranya:
(1) Berlakunya penyakit HIV AIDS.
(2) Merosakkan nasab keturunan dengan percampuran sosial sehingga berlaku hubungan terlarang.
Firman Allah S.W.T:
وَلَا تَقۡرَبُوا۟ ٱلزِّنَىٰۤۖ إِنَّهُۥ كَانَ فَـٰحِشَةࣰ وَسَاۤءَ سَبِیلࣰا
“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).”
[al-Isra’: 32]
Begitu juga apabila Allah mengharamkan sesuatu makanan seperti bangkai, darah yang mengalir dan khinzir, maka kerana kedua-duanya adalah najis yang kotor lagi memudaratkan kesihatan manusia. Menjauhi apa yang dilarang adalah untuk memelihara kesihatan yang terbaik.
Firman Allah S.W.T:
حُرِّمَتۡ عَلَیۡكُمُ ٱلۡمَیۡتَةُ وَٱلدَّمُ وَلَحۡمُ ٱلۡخِنزِیرِ وَمَاۤ أُهِلَّ لِغَیۡرِ ٱللَّهِ بِهِۦ وَٱلۡمُنۡخَنِقَةُ وَٱلۡمَوۡقُوذَةُ وَٱلۡمُتَرَدِّیَةُ وَٱلنَّطِیحَةُ وَمَاۤ أَكَلَ ٱلسَّبُعُ إِلَّا مَا ذَكَّیۡتُمۡ وَمَا ذُبِحَ عَلَى ٱلنُّصُبِ وَأَن تَسۡتَقۡسِمُوا۟ بِٱلۡأَزۡلَـٰمِۚ ذَ ٰلِكُمۡ فِسۡقٌۗ
“Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), dan yang disembelih atas nama berhala; dan (diharamkan juga) kamu merenung nasib dengan undi batang-batang anak panah. Yang demikian itu adalah perbuatan fasik.”
[al-Ma’idah: 3]
Wajib usaha berubat dan merawat
Iktikad umat Islam bahawa Allah yang menyembuh adalah benar. Dan Ia tidak menegah manusia dari usaha untuk berubat dan merawat. Malah tanda iktikad yang benar berasaskan kefahaman yang tepat, umat Islam pastinya berusaha untuk berubat dan merawat.
Firman Allah S.W.T:
وَإِذَا مَرِضۡتُ فَهُوَ یَشۡفِینِ
“Dan apabila aku sakit, maka Dia lah yang menyembuhkan penyakitku.”
[Ash-Shu’ara: 80]
Ayat ini menekankan aspek akidah dari sudut penyembuhan itu dari Allah dengan izinkannya. Kehidupan umat Islam meletakkan kebergantungan dan meletakkan harapan hanya pada Allah S.W.T, tidak selain-Nya. Ia disebut sebagai musabbib.
Namun begitu, ia tidak menafikan dari sudut kewajipan ke atas usaha manusia dalam beramal dengan mengambil kira sebab musabbab. Sebab itu, terdapat juga dalil yang memerintahkan manusia untuk berubat dan merawat.
Terdapat dalam hadis dari Usamah bin Syarik yang menyebut mengenai seorang Arab Badwi bertanya kepada Baginda S.A.W:
“Wahai Rasulullah bolehkah kita berubat?”
Lalu Baginda Rasulullah S.A.W bersabda;
نَعَمْ ، يَا عِبَادَ اللَّهِ تَدَاوَوْا ، فَإِنَّ اللَّهَ لَمْ يَضَعْ دَاءً إِلا وَضَعَ لَهُ شِفَاءً ، إِلا دَاءً وَاحِدًا ، قَالُوا : يَا رَسُولَ اللَّهِ ، وَمَا هُوَ ؟ قَالَ : الْهَرَمُ
“Ya berubatlah, kerana Allah telah menetapkan ubat bagi setiap penyakit yang diturunkan-Nya, kecuali satu penyakit!”
Para Sahabat bertanya:
“Penyakit apa itu wahai Rasulullah?”
Baginda S.A.W menjawab:
“Penyakit tua.“
(Riwayat at-Tirmizi)
Anas meriwayatkab bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ حَيْثُ خَلَقَ الدَّاءَ خَلَقَ الدَّوَاءَ فَتَدَاوَوْا
“Sesungguhnya Allah ketika menciptakan penyakit diciptakan bersekali ubat maka berubatlah.”
(Riwayat Ahmad)
Bersabar dengan musibah bukan bermaksud menafikan usaha berubat
Hadis Ibn Abbas berkenaan wanita berkulit hitam yang menghidap penyakit sawan. Kemudian wanita itu pun mengadu kepada Baginda Rasulullah S.A.W dan Baginda S.A.W pun bersabda:
إِنْ شِئْتِِ صَبَرْتِ ولكِ الجنةُ، وإن شئتِ دعوتُ اللهَ أن يعافِيَكِ
“Jika kamu mahu bersabar maka bagi kamu itu syurga dan jika kamu mahu aku berdoa maka aku akan berdoa agar Allah menyembuhkan kamu.”
‘Lalu perempuan itu memilih untuk sabar.’
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hadis ini bukan membawa maksud jangan berubat apabila sakit, tetapi hadis ini menyuruh supaya sabar apabila diuji oleh Allah dan termasuk dalam bab menyatakan setiap musibah yang menimpa kita akan menjadi penyebab kepada syurga.
Ibn Qayyim rahimahullah menyatakan di dalam kitabnya Zaadul Ma’ad (زاد المعاد);
في الأحاديث الصحيحة الأمر بالتداوي ، وأنه لا ينافي التوكل ، كما لا ينافيه دفع الجوع والعطش والحر والبرد بأضدادها ، بل لا تتم حقيقة التوحيد إلا بمباشرة الأسباب التي نصبها الله مقتضيات لمسبباتها قدراً وشرعاً ، وأن تعطيلها يقدح في نفس التوكل
“Dalam hadis-hadis sahih telah disebutkan perintah berubat, dan berubat tidaklah menafikan tawakal. Sebagaimana makan kerana lapar, minum kerana dahaga, berteduh kerana panas dan menghangatkan diri kerana sejuk tidaklah menafikan tawakal. Tidak akan sempurna hakikat tauhid kecuali dengan menjalani ikhtiar (usaha) yang telah dijadikan oleh Allah sebagai sebab musabab terjadinya sesuatu takdir. Bahkan meninggalkan ikhtiar itulah yang dapat merosakkan hakikat tawakal.”
Pssttt! Tak Nak Cuba Stokin Soka Original Tapak Hitam? Selesa dan ada banyak corak yang comelll 😍😍
Betul ker comel dan selesa? Belum cuba belum tahu:
- Stokin Soka Original Tapak Hitam (RM 10.00)
Jangan fikir lama-lama, stok adalah terhad!
Contact number di bawah untuk order:
Sumber di petik dari:
https://harakahdaily.net/index.php/2020/03/23/islam-dan-menjaga-kesihatan/