Ramai yang tak tahu apa itu Jihad yang sebenarnya dalam Islam. Bukan sahaja kita sanggup untuk mempertahankan Agama Islam, ataupun berjuang dengan apa yang kita ada demi mempertahankan sesuatu. Ada juga salah faham seperti sekelompok daripada umat Islam yang mendakwa bahawa jihad itu adalah semata-mata perang. Mereka tidak menerima istilah jihad nafsu, jihad harta, jihad ilmu dan sebagainya. Bagi mereka, istilah jihad yang dimaksudkan dalam al-Quran dan al-Hadith hanya merujuk kepada perang samata-mata. Oleh yang demikian, orang yang ingin berjihad, hendaklah menunaikannya dengan cara berperang secara fizikal, membunuh orang kafir atau mereka yang dianggap musuh Allah SWT. Persoalannya, adakah benar jihad itu semata-mata berperang?
Definisi
Pertama sekali mari kita lihat jihad dari sudut bahasa, ia mempunyai banyak maksud. Merujuk kepada kamus Lisan al-‘Arab, jihad berasal dari kalimah jim-ha-dal (ج.ه.د) yang bermaksud menghadapi kesusahan dan mengerah tenaga. (Lisan al-‘Arab: 3/133)
Dari segi istilah, jihad ditakrifkan dengan pelbagai definisi oleh para ulama. Al-Kasani mengatakan jihad pada uruf syarak digunakan pada mengerah sepenuh kemampuan untuk berjuang pada jalan Allah s.w.t dengan nyawa, harta, lisan dan lain-lain. (Bada’i’ al-Sana’i’: 7/97) Sebahagian fuqaha seperti Ibn ‘Arafah (al-Fawakih al-Dawani: 2/879), Ibn Hajar (Fath al-Bari: 1/6) dan al-Buhuti (Syarh Muntaha al-Iradat: 1/716) mentakrifkan jihad dengan perang secara khusus. Ini bermakna, terdapat dua takrifan mengenai jihad iaitu jihad am dan jihad khas. Secara am ia meliputi pelbagai jenis jihad sama ada dengan harta, lisan dan nyawa manakala secara khas ia bermaksud memerangi musuh.
Jihad dalam ayat Makkiyyah
Berdasarkan definisi di atas, jihad pada asasnya memiliki maksud yang luas melangkaui makna perang semata-mata. Antara hujah yang menunjukkan jihad bukan hanya bermaksud qital (peperangan), perkataan jihad juga digunakan dalam ayat-ayat Makkiyyah sedangkan qital belum lagi disyariatkan kecuali di Madinah.
Antaranya firman Allah SWT dalam surah al-Furqan, ayat 52:
فَلَا تُطِعِ ٱلۡكَٰفِرِينَ وَجَٰهِدۡهُم بِهِۦ جِهَادا كَبِيرا
“Maka janganlah kamu mengikuti orang-orang kafir, dan berjuanglah dengan Al Quran dengan jihad yang besar”
Kalimah “وَجَٰهِدۡهُم بِهِۦ” merujuk kepada jihad atau berjuang dengan al-Quran yakni berjuang dengan berdakwah kepada mereka tanpa menggunakan kekerasan. (Al-Tafsir al-Wasit: 10/208)
Dalam surah Al-Ankabut ayat yang ke-6, Allah SWT berfirman:
وَمَن جَٰهَدَ فَإِنَّمَا يُجَٰهِدُ لِنَفۡسِهِۦٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَغَنِيٌّ عَنِ ٱلۡعَٰلَمِينَ
“Dan sesiapa yang berjihad (menegakkan Islam) maka sesungguhnya dia hanyalah berjihad untuk kebaikan dirinya sendiri; sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatupun) daripada sekalian makhluk.
Menurut Ibn Kathir, al-‘Ankabut merupakan surah Makkiyyah dan ayat “Dan sesiapa yang berjihad” bermaksud “sesiapa yang beramal soleh.” (Tafsir Ibn Kathir: 6/263-264)
Dalam surah Al-Ankabut ayat 69 pada penghujung surah, Allah telah menerangkan maksud jihad yang lebih umum. Firman-Nya:
وَٱلَّذِينَ جَٰهَدُواْ فِينَا لَنَهۡدِيَنَّهُمۡ سُبُلَنَاۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ لَمَعَ ٱلۡمُحۡسِنِينَ
“Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keridhaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik.”
Menurut al-Suddiy dan lain-lain, ayat ini diturunkan di Makkah sebelum perang disyariatkan. Ibn ‘Atiyyah mengatakan ia adalah jihad umum demi agama Allah dan memohon keredaan-Nya. Kata Abu Sulaiman al-Darani, ayat tersebut menunjukkan jihad bukan hanya peperangan bahkan ia adalah memperjuangkan agama, membantah golongan batil, mengekang golongan zalim dan setinggi-tingginya adalah amar makruf nahi mungkar. (Tafsir al-Qurtubi: 13/364-365)
Nabi Nuh a.s berjihad dakwah
Selain daripada itu, jika kita mengkaji sirah dakwah para nabi terdahulu, kita akan dapati terdapat nabi yang tidak pernah melancarkan jihad perang seperti Nabi Nuh a.s. Sebaliknya pendekatan yang digunakan oleh Nabi Nuh a.s hanyalah berdakwah semata-mata. Allah s.w.t telah menceritakan dalam surah Nuh ayat 5-8:
قَالَ رَبِّ إِنِّي دَعَوْتُ قَوْمِي لَيْلًا وَنَهَارًا (5) فَلَمْ يَزِدْهُمْ دُعَائِي إِلَّا فِرَارًا (6) وَإِنِّي كُلَّمَا دَعَوْتُهُمْ لِتَغْفِرَ لَهُمْ جَعَلُوا أَصَابِعَهُمْ فِي آذَانِهِمْ وَاسْتَغْشَوْا ثِيَابَهُمْ وَأَصَرُّوا وَاسْتَكْبَرُوا اسْتِكْبَارًا (7) ثُمَّ إِنِّي دَعَوْتُهُمْ جِهَارًا (8) ثُمَّ إِنِّي أَعْلَنْتُ لَهُمْ وَأَسْرَرْتُ لَهُمْ إِسْرَارًا (9) فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا(10)
“Nuh berkata, " Ya Tuhanku, Sesungguhnya aku telah menyeru kaumku malam dan siang, maka seruanku itu hanyalah menambah mereka lari (dari kebenaran). Dan Sesungguhnya setiap kali aku menyeru mereka (kepada iman) agar Engkau mengampuni mereka. mereka memasukkan anak jari mereka ke dalam telinganya dan menutupkan bajunya (ke mukanya) dan mereka tetap (mengingkari) dan menyombongkan diri dengan sangat. Kemudian Sesungguhnya aku telah menyeru mereka (kepada iman) dengan cara terang-terangan, kemudian Sesungguhnya aku (menyeru) mereka (lagi) secara terbuka dan dengan diam-diam, maka aku berkata (kepada mereka), 'Mohonlah ampunan kepada Tuhanmu,' sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun,”
Merujuk dalam kitab Tafsir Al-Maraghi, Nabi Nuh a.s. berjihad dengan berdakwah kepada kaumnya agar kembali ke jalan yang benar dengan cara berdoa (dakwah bil-qalbi) dengan bersungguh-sungguh. Nabi Nuh a.s. berdakwah siang dan malam, kadangkala Nabi Nuh a.s berdakwah kepada kaumnya secara sembunyi dan kadang-kadang dengan cara terang-terangan. Akan tetapi dakwahnya tetap tidak diterima oleh kaumnya sehinggakan mereka menutup ketat telinga dan mata dengan pakaian mereka, kerana tidak mahu menerima dakwah tersebut. Namun Nabi Nuh a.s. tetap bersabar dengan kedegilan kaumnya. (Tafsir al-Maraghi: 15/729)
Peringkat-peringkat jihad
Bagi menjelaskan lagi bahawa jihad bukan sekadar bermaksud perang, amat baik jika kita merujuk kepada perbahasan mengenai peringkat-peringkat jihad sebagaimana yang dibentangkan oleh Ibn al-Qayyim dalam Zad al-Ma’ad. Menurut Ibn al-Qayyim, secara amnya, jihad terbahagi kepada 4 bahagian iaitu jihad memperbaiki diri (melawan nafsu), jihad melawan godaan syaitan, jihad memerangi orang-orang kafir dan jihad terhadap orang-orang munafik. (Zaad al-Ma’ad: 3/9-10)
Pertama: Jihad melawan nafsu
Jihad melawan nafsu adalah perkara yang perlu setiap umat Islam mengambil berat kerana ia jihad untuk mengawal diri dari dikuasai oleh hawa nafsu. Cara untuk berjihad melawan nafsu mempunyai empat peringkat iaitu:
- Melakukan jihad terhadap diri supaya mempelajari. petunjuk, dan agama yang sebenar. Tiada kebahagiaan dan kejayaan untuk diri sendiri tanpanya dan tiada kebahagiaan di dunia dan akhirat tanpanya. Apabila jiwa tidak dibekalkan dengan ilmu, maka malang dia di dunia dan akhirat.
- Berjihad terhadap diri supaya mengamalkan ilmu yang diperoleh. Apabila seseorang itu tidak mengamalkannya, maka ilmu yang dipelajari hanya sekadar menjadi ilmu tanpa amal. Walaupun tidak membahayakannya, tetapi tiada manfaat yang dapat diambil.
- Berjihad terhadap diri supaya berdakwah dan menyampaikan ilmu kepada orang-orang yang tidak mengetahuinya. Sekiranya tidak melakukannya, dia termasuk dalam golongan yang menyembunyikan apa yang Allah s.w.t. turunkan daripada petunjuk dan penerangan. Ilmunya tidak memberika`n manfaat dan tidak dapat menyelamatkannya daripada seksaan Allah. s.w.t.
- Berjihad dengan kesabaran ketika mengalami kesukaran dan seksaan daripada makhluk dalam berdakwah pada jalan Allah s.w.t dan menanggung semuanya dengan mengharapkan redha Allah s.w.t
Kedua: Jihad melawan syaitan
Jihad melawan syaitan mempunyai dua peringkat, iaitu:
- Berjihad melawan syaitan dengan membuang segala kebimbangan dan keraguan (shubuhat) yang dilemparkan oleh syaitan kepada manusia bagi merosakkan iman. Ini termasuk menjawab segala bentuk keraguan yang ditimbul oleh pihak tertentu terhadap aqidah dan syariat Islam seperti menuduh Islam sebagai agama terroris, Nabi Muhammad seorang pedofilia kerana menikahi kanak-kanak, majoriti para sahabat telah murtad dan lain-lain.
- Berjihad melawan syaitan yang mengarahkan manusia agar memenuhi nafsu syahwatnya dengan melakukan kemungkaran dan kemaksiatan. Ia seperti mencegah manusia melakukan zina, pergaulan bebas, orientasi seks songsang (LGBT), rasuah, penyelewengan kuasa, zalim, khianat dan lain-lain.
Ketiga: Jihad melawan bid’ah dan penyelewengan intelektual
Jihad melawan bid’ah bermaksud berjihad dalam menyekat ajaran-ajaran baharu dalam akidah dan syariah yang menyesatkan atas nama Islam. Ia dikenali sebagai ajaran sesat seperti Syiah, Qadiyani, Khawarij, Murji’ah, Muktazilah, Ayah Pin, Haji Kahar Rasul Melayu dan lain-lain. Bid’ah yang direkacipta atas nama agama jauh lebih bahaya berbanding maksiat kerana maksiat dapat dilihat dan disingkap urusannya. Manakala bid’ah bersembunyi di sebalik pakaian agama dan diperkenalkan sebagai perkara yang mampu mendekatkan diri kepada Allah s.w.t sedangkan ia perkara yang tertolak di sisi agama. Ia sering kali disebut oleh Nabi Muhammad s.a.w dalam beberapa hadis, antaranya:
Nabi Muhammad s.a.w bersabda:
مَنْ عَمِلَ عَمَلاً ليسَ عليه أمرُنا هذا فهو رَدٌّ
“Barangsiapa membuat suatu perkara baru dalam urusan kami ini (urusan agama) yang tiada ada asalnya, maka perkara tersebut tertolak.”
(HR.Bukhari no. 2697 dan Muslim no.1718)
Manakala penyelewengan intelektual pula merupakan bentuk-bentuk pemikiran yang disandarkan kepada Islam atas nama progresif dan kemodenan. Namun hakikatnya, ia telah melanggar prinsip-prinsip dan batasan-batasan syarak. Antaranya seperti menyeru kepada pentafsiran semula al-Quran, kebebasan murtad, kesaksamaan gender termasuk dalam isu faraid, menyamaratakan semua agama dan seumpamanya.
Jihad perlu dilancarkan dalam menangani kedua-dua golongan ini. Ia sama ada dengan menggunakan kuasa undang-undang, atau ceramah dan penulisan bagi menjelaskan dan menjawab dengan hujah segala kesesatan dan penyelewengan yang ditimbulkan.
Keempat: Jihad melawan musuh yang jelas
Jihad melawan orang kafir dan munafik yang jelas disebut dalam surah Al-Furqan, ayat 51 dan 52:
وَلَوۡ شِئۡنَا لَبَعَثۡنَا فِي كُلِّ قَرۡيَة نَّذِيرا، فَلَا تُطِعِ ٱلۡكَٰفِرِينَ وَجَٰهِدۡهُم بِهِۦ جِهَادا كَبِيرا
“Dan kalau Kami kehendaki, tentulah Kami utuskan dalam tiap-tiap negeri, seorang Rasul pemberi amaran. Oleh itu, janganlah engkau (Wahai Muhammad) menurut kehendak orang-orang kafir, dan berjuanglah dengan hujjah-hujjah Al-Quran menghadapi mereka dengan perjuangan yang besar dan bersungguh-sungguh.
Jihad menentang orang kafir dan munafik ada empat peringkat iaitu jihad dengan hati, lidah, harta, dan jiwa. Jihad menentang orang kafir lebih dikhususkan dengan tangan (kekuatan), manakala jihad menentang orang munafik lebih dikhususkan dengan lidah (dakwah).
Adapun jihad untuk menentang orang kafir yang memerangi Islam, maka ia tertakluk kepada hukum hakam sebagaimana yang dibahaskan oleh para ulama dalam bab fiqah jihad. Namun begitu, jihad menentang musuh-musuh Allah s.w.t di luar tetap merupakan cabang daripada jihad seorang hamba melawan hawa nafsu demi mentaati Allah s.w.t. Ia seperti mana yang disabdakan Nabi s.a.w, “Mujahid adalah orang yang berjihad melawan hawa nafsunya kerana mentaati Allah s.w.t.” (HR Ahmad no. 23965)
Di sini kita dapat lihat keutamaan meletakkan jihad melawan nafsu daripada jihad melawan musuh di luar, ini kerana jihad melawan nafsu yakni memperbaiki diri adalah tiang asas kepada jihad-jihad yang lain. Ini kerana, bagaimana seseorang yang tidak mampu melawan musuh dalam dirinya untuk menentang musuh-musuh yang penuh dengan tipu daya.
Kesimpulan
Kesimpulannya, adalah tidak tepat jika jihad hanya diertikan sebagai peperangan semata-mata. Ini kerana, maksud jihad yang sebenar adalah lebih luas dan bukan hanya tertumpu pada erti peperangan. Seharusnya setiap muslim itu melalui dan melaksanakan setiap tingkatan jihad mengikut kemampuan diri masing-masing. Ia bermula dengan memperbaiki diri (jihad nafsu), jihad melawan syaitan, jihad melawan bid’ah dan penyelewengan intelektual dan jihad menentang musuh yang nyata. Jika ditelusuri sejarah para rasul, sahabat dan tabiin, Islam tersebar dengan dengan dakwah penuh ilmu, beradab dan disulami hikmah. Justeru, Islam tidak sekali-kali mensyariatkan peperangan kecuali apabila keadaan memerlukan demi mempertahankan Islam dan umatnya.
Wallahu a’lam.
Wow, SOCAZ ada jual Kurma Medjool Firdaus!
Keluaran dari bumi Palestine, sedap dan berkualiti tinggi!
Berminat untuk dapatkan Kurma Medjool?
Jangan fikir lama-lama, stok adalah terhad!
Contact number di bawah untuk order:
Sumber di petik dari:
https://muftiwp.gov.my/en/artikel/tashih-al-mafahim/2547-tashih-al-mafahim-1-jihad-bukan-perang-semata-mata